Jawi

MENGUASAI TULISAN JAWI

Tulisan jawi begitu sinonim dengan bangsa Melayu, malah disedari atau tidak ia terlalu istimewa kerana di seluruh dunia, tulisan ini hanya terdapat dalam masyarakat Melayu sahaja berbanding tulisan rumi yang digunakan secara meluas dalam pelbagai medium bahasa.

Penemuan Batu Bersurat Terengganu pada tahun 1303 menjadi asas penting kewujudan tulisan jawi di negara ini. Ia membuktikan bahawa tulisan tersebut sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan rumi yang hanya ditemui pada akhir abad ke 19.

Ia yang berasal daripada tulisan Arab ini berkait rapat dengan kedatangan Islam ke Nusantara dan terus berkembang serta mendapat kedudukan yang tinggi di negara ini terutamanya semasa penjajahan British dahulu.

Seterusnya, bermula awal abad ke-20, ia menjadi medium utama dalam institusi akhbar di Tanah Melayu bagi menyebarkan pelbagai maklumat dan meniup api kebebasan kepada rakyat sehingga negara mencapai kemerdekaan.

Selari dengan perkembangan semasa, penggunaan dan pengaruh tulisan jawi semakin terhakis dan dilupakan sehingga terdapat segelintir warganegara yang tidak tahu membaca dan menulis jawi.

Menyedari kepincangan ini memandangkan tulisan itu merupakan warisan Melayu dan juga sebagai salah satu medium pembelajaran agama, Kementerian Pelajaran Malaysia pada 2004 telah memperkenalkan pembelajaran tulisan jawi melalui program Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) di sekolah rendah.

Program tersebut menampakkan hasil memberangsangkan apabila semakin ramai murid sekolah rendah 'celik jawi' berbanding sebelum pelaksanaan program tersebut. Langkah itu adalah bagi menambah baik pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di sekolah-sekolah bertepatan dengan hasrat Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk melahirkan generasi kepimpinan yang lengkap duniawi dan ukhrawi.