Saturday, January 2, 2010

TIADA JALAN PINTAS UNTUK BERJAYA

Peribahasa ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ bermakna kita tidak mendapat kejayaan jika tidak berusaha, manakala ‘jangan pula sampai jadi seperti pungguk yang rindukan bulan’ pula bermakna jangan berharap pada sesuatu yang mustahil diperolehi.

Yang penting, kita harus melihat keupayaan diri, bak kata orang: “Bertindak biar berpada-pada. Jangan sampai benda yang diharap tidak dapat, kelak diri sendiri yang menderita.”

Namun, semua itu bergantung kepada niat. Jika betul niat kita, tidak mustahil kejayaan itu menjadi milik kita, tetapi jika sebaliknya, terimalah kepayahan yang bakal dilalui di atas kesilapan sendiri.

Sebenarnya kunci setiap kejayaan ialah tidak mebazirkan masa yang terluang seperti kata pepatah " Masa itu Emas " kerana kejayaan itu adalah milik sesiapa saja. Tidak kira siapa kita, jika rajin berusaha dan tidak membazir masa yang terluang, kejayaanlah yang akan menjadi upahnya.

Ketika usia mudalah seseorang perlu menyemat sifat bersaing, tetapi biarlah persaingan yang sihat. Pupuk sifat berlumba-lumba untuk menuju ke puncak menara gading.Lihatlah bangsa lain dan pelajari cara mereka mengejar kejayaan dalam hidup. Mereka berusaha bersungguh-sungguh.

Jarang sekali kita melihat mereka berfoya-foya menghabiskan masa dengan aktiviti tidak berfaedah.Habis saja waktu sekolah, mereka terus duduk di rumah mengulangkaji pelajaran. Bagi golongan remaja dan dewasanya pula, mereka tidak jemu berusaha untuk mencari ilmu, walau dengan cara apa sekalipun.

Sewajarnya, kita menjadikan semua itu sebagai contoh dan pengajaran. Jangan jadikan bangsa kita sebagai bangsa yang ketinggalan. Kita perlu bersemangat untuk memartabatkan bangsa sendiri.

Dalam aspek ini, ibu bapa juga harus memainkan fungsi betul. Jangan ada sifat sambil lewa ketika mendidik anak. Jadikan ia sebagai tanggungjawab dan agenda utama.Ini kerana tidak dapat dinafikan setiap kejayaan anak terletak pada ibu bapa mereka. Mungkin kita pernah mendengar cerita mengenai orang dulu mendidik anak mereka. Cuba kita bandingkan dengan sekarang, jauh betul bezanya.Tidak salah kalau hendak manjakan anak, tetapi biar setimpal dengan keadaan. Jangan pula hanya mengikutkan kata mereka, sedangkan kata-kata kita langsung tidak dihiraukan.

Berbalik semula kepada topik asal kita yang ingin diperbincangkan. Setiap kita mesti ada impian dan matlamat. Kalau tidak ada, apa gunanya hidup, betul tak?Menanam impian memang mudah. Yang sukar ialah cara merealisasikan setiap impian. Banyak dugaan harus ditempuhi. Pelbagai persediaan harus dibuat. Persiapan juga harus disusun rapi.

Umpama nak membina sebuah rumah. Kita harus menyediakan pelan terlebih dulu. Untuk menghasilkan rumah yang sempurna, empat faktor utama perlu dititikberatkan adalah tiang, dinding, lantai dan seterusnya bumbung. Jika kurang satu daripadanya, tidak sempurnalah rumah yang dibina itu.

Tidak jauh beza dalam membina kejayaan. Empat faktor utama perlu diterapkan dalam merialisasikan impian kita. Yang utama ialah niat diikuti dengan ketekunan berusaha.

Seterusnya perlu ada pengalaman atau sedikit pengetahuan mengenai ke mana arah usaha itu dan akhir sekali mesti ada sifat jujur kerana ia menjanjikan keberkatan di dalam setiap usaha dilakukan.

Jadi kesimpulan utamanya di sini ialah perancangan. Setiap susun atur perancangan itu mesti diikuti satu persatu. Memang tiada jalan pintas. Cuma kita perlu kreatif untuk menggubahnya. Kreatif yang macam mana? Kreatif dalam menguruskan masa.

Gunakan kesilapan masa lalu sebagai rujukan pada masa akan datang. Kumpulkan setiap kelemahan yang ada pada diri kita dan cari jalan untuk membina kekuatan pada setiap kelemahan itu.

Dalam hal ini, perkara yang paling penting ialah kefahaman terhadap nilai agama perlu diterapkan dalam diri bagi menghasilkan rohani yang sihat.

Ketiadaan pemahaman agama akan membuatkan pintu hati kita tertutup.Itu sebabnya ada yang merungut setiap kali usaha yang dilakukan tidak berhasil. Fikirkanlah di mana kekurangannya.

Di waktu mudalah kita perlu beramal. Jangan sesekali beranggapan kita akan hidup kekal lama. Dan jangan juga beranggap kesenangan yang kita peroleh sekarang adalah milik kekal.

Dengarkan kata-kata ini dan fikirkanlah ia sebagai pedoman kita semua:

“Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka mengubah nasib diri mereka sendiri.”

PENGUASAAN ILMU LONJAK KECEMERLANGAN UMAT, BANGSA

Kecemerlangan Islam yang diasaskan Rasulullah SAW dan sahabatnya berjaya meletakkan umat manusia ketika itu ke puncak yang mulia dan bertamadun tinggi.

Kemudian dituruti pula generasi seterusnya yang memperlihatkan perkembangan Islam terpancar ke merata pelusuk benua tanpa mengira sempadan geografi.Islam diterima sebagai agama yang memberi petunjuk dan satu sistem yang adil dalam semua aspek kehidupan manusia.

Islam bersifat universal telah berkembang sehingga sampai kepada kita di sebelah nusantara ini.Walau bagaimanapun, kecemerlangan Islam telah mula mundur setelah dicarik robek oleh manusia tamak dan tidak amanah yang berada di puncak kepimpinan negara apabila berlalu proses demi proses pertukaran sistem khalifah negara Islam.

Ia telah diambil kesempatan oleh musuh Islam untuk mengeruhkan lagi suasana dan menjadi gunting dalam lipatan dengan merosakkan pegangan ummah terhadap Islam sehingga ke hari ini.

Sejarah dunia hari ini mengakui bahawa Islam telah melahirkan suatu tamadun besar yang membawa keamanan dan kesejahteraan kepada dunia dan menjadi pendorong kemajuan manusia dalam aspek kerohanian.

Pemikiran, moral dan keduniaan menjadi sumber utama ilmu yang bermanfaat bukan saja kepada Timur tetapi juga Barat yang mendapat darinya sumbangan intelektual dan moral serta idea memajukan kebendaan.

Sebagaimana kita ketahui, pada abad ke-8 hingga ke-12, orang Islam sangat maju. Mereka menguasai ilmu pengetahuan, sains dan teknologi. Zaman kegelapan bagi masyarakat Barat adalah zaman kegemilangan tamadun Islam.

Islam memimpin dunia selama 700 tahun dan Barat berhutang dengan ketamadunan ini. Tamadun Islam yang tinggi ketika itu telah menarik orang Barat untuk menimba ilmu dan kepakaran di negara Islam.Mereka pulang dengan menyebarkan ilmu berkenaan di negara mereka.

Kesedaran ini diakui sendiri sarjana Barat dan di antara bidang yang mereka pelajari dan dapati daripada pusat pengajian Islam adalah matematik, falsafah, kedoktoran, astronomi, farmasi dan lain-lain. Ilmu itu mereka sebarkan pula ke pusat pengajian tinggi di Barat seperti Itali, kemudian ke Perancis dan setelah itu ke Britain dan Jerman.

Kita membuka lembaran sejarah tamadun Islam bukan untuk mengubat hati disebabkan kemunduran yang menimpa umat Islam sekarang, tetapi bagi memperbaiki dan membangun masa depan ke arah kejayaan serta kecemerlangan.

Sesungguhnya agama kita iaitu Islam sentiasa membawa cara hidup yang menekankan keilmuan. Dengan penguasaan pengetahuan, umat Islam telah berjaya membuka suatu tamadun tinggi yang di contohi masyarakat dunia.

Kebelakangan ini, kita dapat saksikan episod kemunduran menimpa umat Islam di sesetengah negara di seluruh dunia. Umat Islam walaupun berada di dalam sesebuah negara Islam yang kaya masih terpaksa bergantung kepada Barat.

Lebih-lebih lagi bagi negara sedang membangun, tentu tidak boleh lari daripada terdedah kepada tekanan dan penjajahan bentuk moden.Justeru, kita perlu beriltizam melahirkan cerdik pandai dalam pelbagai disiplin ilmu ke arah meningkatkan martabat umat Islam.

Pepatah Arab ada mengatakan: “Ilmu tanpa direalisasikan atau diamalkan, laksana pokok tanpa buah”.

Allah berfirman yang bermaksud: “Bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali mereka sendiri berusaha mengubah nasib mereka sendiri.” (Surah ar-Ra’ad, ayat 11)

Ini terbukti apabila masyarakat Barat berjaya merubah nasib bangsa mereka dengan memajukan ilmu pengetahuan yang ada di dunia Islam. Hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan dihormati di seluruh dunia adalah agenda menepati ayat yang mengajak kita melakukan reformasi terhadap nasib bangsa.

Menyorot kembali kegemilangan dicapai masyarakat Islam zaman silam, adalah disebabkan mereka benar mempraktikkan ajaran Islam. Malangnya kelemahan kita ialah apabila Islam menuntut kita mencari ilmu, kita pisahkan ilmu antara ilmu agama dan bukan agama.

Apabila Islam membenarkan kita mendapatkan kekayaan dan hakikat memberi itu lebih baik daripada menerima, maka kita memilih kemiskinan dan memandang mulia orang yang meminta-minta daripada orang lain.

Umat Islam zaman silam terpaksa menghadapi pelbagai bentuk halangan dan rintangan bagi mempertahankan dan membela nasib orang Islam. Kita hari ini cuma dikehendaki mempelajari ilmu dan kecekapan serta sanggup berusaha.

Tetapi kita tidak menghargai dan tidak berusaha bersungguh mengekalkannya. Ramai di kalangan kita cuma memilih amalan ibadat untuk diri sendiri dengan tidak memikirkan tanggungjawab kita terhadap seluruh umat Islam yang lain.

Bagi mengembalikan maruah Islam serta mendaulatkan semula kegemilangan Islam, umat Islam bertanggungjawab membuktikan ajaran Islam sebagai ajaran yang syumul.Kita perlu menghidupkan semula asas ajaran Islam sebenar seperti terkandung dalam al-Quran yang berteraskan prinsip tauhid kepada Allah sebagai punca penyatuan umat manusia di dunia.

Muhammad Iqbal pernah menekankan pentingnya umat Islam menguasai ilmu pengetahuan dan mengikuti arus kemajuan dengan bertunjangkan Islam. Beliau berkata, umat Islam perlu kekal sebagai penganut Islam tetapi pada masa sama mereka perlu moden sejajar perkembangan semasa.

Jika umat Islam mengamalkan sepenuhnya ajaran al-Quran, bermakna mereka mampu mengubahsuai politik dan kehidupan dunia.Barat digambarkan semakin khuatir dengan kebangkitan Islam yang mendadak sehingga ada media Barat menganggap Islam sebagai ancaman kepada tamadun Barat setelah keruntuhan komunis.

Kita tidak menafikan kenyataan itu dan yakin Islam mampu menguasai abad akan datang jika umatnya berusaha bersungguh-sungguh mengukuhkan keupayaan dalam semua bidang khususnya ekonomi, teknologi dan pengetahuan.

Tanggungjawab kita ialah untuk menyedarkan umat Islam supaya mempersiapkan diri menentukan agenda bagi seluruh ummah dalam usaha mengembalikan kegemilangan peradaban Islam di seluruh dunia.

Sarjana Islam, Dr Syed Husain Nars pernah menyebut kekuatan dan pengetahuan umat Islam dalam pelbagai bidang khususnya agama, teknologi, budaya dan politik dunia menjadi pra syarat penting melayakkan umat Islam menentukan agenda masa depan.

Sebagai umat yang komited kepada agama, sudah pasti kita akan berasa bangga apabila melihat Islam diterima dan diguna pakai ummah sejagat sebagai Addeen (cara hidup).

SOLAT DUHA SEBAGAI ROH REZEKI

Rezeki melimpah, halal dan berkat adalah dambaan atau keinginan setiap orang, apatah lagi disertakan dengan kedudukan yang mulia dan ilmu yang bermanfaat.

Namun untuk mencapai kenyataan itu bukanlah mudah. Ini kerana wang yang melimpah dan kedudukan yang tinggi bukanlah sesuatu yang dapat membawa serta menjamin keberkatan hidup yang sejati.

Ini membuktikan rezeki yang melimpah tidak menjamin kehidupan yang berkat. Rezeki yang melimpah juga tidak menjamin hidup yang harmoni, bahagia dan tenang.

Allah berfirman: Sekiranya Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hambanya tentulah mereka melampaui batas pada muka bumi tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendakinya dengan ukuran tertentu.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Melihat keadaan hamba-hamba-Nya. (asy-Syura: 27)

Kita sering melihat orang yang diberi rezeki yang melimpah tetapi menggunakan kekayaan mereka bagi mengingkari Allah, membelanjakan pada jalan sesat dan digunakan bagi mencari tempat di neraka. Bukankah itu kebodohan yang nyata?

Sedangkan kita selalu diingatkan serta dinasihatkan oleh Allah supaya memakan rezeki yang baik dan jangan mengikut jejak syaitan. Sesungguhnya, syaitan adalah musuh yang nyata.

Rezeki yang halal dan berkat dapat membawa manusia menuju ketenteraman hati. Ia juga dapat membawa kemuliaan di sisi Allah. Insya-Allah, kita dapat mencapainya dengan mengerjakan solat duha.

Solat Duha adalah solat yang berkait rapat dengan rezeki sama ada dipermudahkan rezeki, rezeki yang diberkati, kemanfaatan rezeki dan pahala yang tinggi nilainya. Manakala di akhirat pula, Allah menyediakan pintu khusus baginya memasuki syurga.

Hal ini telah dijelaskan dalam banyak hadis Rasulullah SAW. Nabi pernah berwasiat kepada sahabat terdekatnya iaitu Abu Dzar al-Ghifari supaya melaksanakan solat Duha, solat Witir dan puasa tiga hari dalam setiap tengah bulan.

Kekasihku Muhammad berwasiat kepadaku supaya berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mengerjakan solat duha dua rakaat dan solat witir sebelum tidur. (riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud daripada Abu Hurairah)

Pun begitu, kita perlu menyedari bahawa solat duha dilakukan bukan semata-mata mengharapkan rezeki, ia dapat mendekatkan diri kepada Allah.

Yang pasti, solat duha menambah amal soleh. Malah Allah turut akan mengampunkan dosa-dosa kita, seandainya ia dikerjakan secara istiqamah.

Lantaran itu, kekuatan spiritual yang terdapat dalam solat ini mempengaruhi kepentingan duniawi dan ukhrawi. Secara tidak langsung, ia memenuhi dua aspek iaitu kepentingan bagi kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat kelak.

KEPELBAGAIAN CARA BELAJAR

Belajar sememangnya menyeronokkan tetapi bagi mereka yang belajar dengan hanya tertumpu pada buku sahaja kadangkala mungkin juga membosankan. Oleh itu murid harus mempelbagaikan bahan, kaedah dan gaya belajar agar ianya menjadi aktiviti harian yang mampu dijalankan tanpa terasa sebagai bebanan.

• Bahan – terdapat pelbagai bahan belajar yang boleh digunakan termasuklah buku teks, akhbar, bahan grafik, lakaran peta minda, bahan audio, video, animasi serta bahan dari internet. Bahan seumpama ini boleh diperoleh daripada pusat sumber sekolah atau negeri, kedai buku, kedai video dan sebagainya. Bahan yang mempunyai imej atau yang bercirikan multimedia mampu menarik perhatian kita serta mampu mengekal dan menambahkan daya ingatan terhadap fakta-fakta yang dipelajari.

• Kaedah – belajar sendirian adalah suatu amalan yang baik tetapi kadangkala kita mudah rasa jemu, bosan dan mengantuk. Adalah dicadangkan supaya murid-murid mampu berinteraksi atau berbincang dengan rakan-rakan berdasarkan bahan yang dipilih. Idea yang bernas daripada rakan-rakan mampu memberi maklum balas serta menjadi asas membetulkan kesilapan yang dilakukan. Mencari bahan dengan melayari Internet mampu menambahkan kemahiran penggunaan komputer di samping mendapat bahan atau fakta terkini.

• Gaya belajar – Gaya belajar juga mempengaruhi segala tindakan kita dalam proses mengulang kaji. Oleh itu gaya belajar juga harus dipelbagaikan termasuk kedudukan kita ketika belajar sama ada secara formal berada di kerusi, duduk di lantai atau bersandar di sofa. Ada juga pelajar yang suka belajar sambil mendengar muzik. Amalan ini boleh dilakukan tetapi dalam keadaan terkawal. Muzik yang didengar itu sebaik-baiknya tidak terlalu kuat sehinggakan hilang daya tumpuan belajar. Walau bagaimanapun anda dilarang mendengar muzik ketika melakukan aktiviti belajar seperti menghafal atau membuat latihan yang mempunyai aras kesukaran yang tinggi yang banyak menggunakan daya berfikir. Menonton televisyen ketika belajar adalah dilarang sama sekali. Dalam jangka masa terdekat ini murid-murid harus mempelbagaikan cara belajar masing-masing. Keseronokan ketika belajar harus dirasai agar apa yang dipelajari itu difahami dan akhirnya mampu menjawab soalan peperiksaan dengan tenang, berkeyakinan dan menepati kehendak soalan.

LAKSANAKAN 4 PERKARA & TINGGALKAN 4 PERKARA

Laksanakan 4 perkara supaya kita terselamat dari seksaan kubur dan moga ketika kita mati, kita dimatikan dalam situasi yang baik-baik bukan dalam kemalangan atau dalam tragedi buruk yang tak disangka-sangka.

Laksanakan 4 perkara berikut:

1. Banyak bersedekah.

2. Menjaga waktu sembahyang.

3. Kerajinan membaca Al-Quran lalu memahami isi kandungannya.

4. Kerajinan bertasbih dan berzikir (dapat menerangkan dan melapangkan kubur yang akan kita diami nanti).


Tinggalkan:

1. Sikap suka berdusta, membuat-membuat cerita dan sikap berbohong.

2. Sikap khianat, mungkir janji.

3.Sikap suka mengadu-ngadu.

4. Sikap suka membuang air kecil sembarangan, terutama orang lelaki.

Motivasi kali ini lebih kepada motivasi keIslaman, sesuai dengan sambutan 1 Januari 2010. Pada hari tahun baru sebegini, wajarlah kita mengingati mati sebab dari setahun ke setahun kita akan makin dekat dengan mati.

SENARAI NAMA GURU SK TANJUNG AGAS

1. Pn. Juariah bt. Othman (Guru Besar)

2. Pn. Solahiyatun bt. Abd Samad (GPK Pentadbiran)

3. Pn. Halimah bt. Karim (GPK Hal Ehwal Murid)

4. En. Yahya b. Abu Bakar (GPK Kokurikulum)

5. En. Zulkiflie b. Mamat

6. En. Guzali b. Haji

7. Pn. Hazlina Hanim bt. Na'am

8. En. Hamzah b. Zainuddin

9. En. Mohd Hafiz Andrew b. Kusairi

10. Pn. Zaharah bt. Sulong

11. En. Artika Rasul b. Sulaiman

12. Pn. Norhafizah bt. Mohd Salleh

13. Pn. Intan Khairani bt. Ismail

14. En. Haswardy b. Che Hassan

15. Pn. Rohayu bt. Mansor

16. Cik Nadiah bt. Ahmad

17. Pn. Khadijah Nor Azlina bt. Mohd Saleh

18. Pn. Roslina bt. Mat Nawi @ Ramli

19. Pn. Badriah bt. Muhammad

20. Pn. Siti Zuraihah bt. Hj Mohd Said

21. En. Ab Halim b. Ab Manan

22. En. Saman b. Bakar

23. Cik Nurhikmaliah bt. Mohd Ali Hanafiah

24. Pn. Roswanyza bt. Yusof

25. Pn. Norbiyana bt. Shidek

26. Pn. Maliah bt. Jamaludin

27. Pn. Nurul Hidayah bt. Wahid @ Abd Wahid

28. En. Mohamed Hafifi b. Abdul Ghani

29. Pn. Noor Mashitah Binti Hashim