Kecemerlangan Islam yang diasaskan Rasulullah SAW dan sahabatnya berjaya meletakkan umat manusia ketika itu ke puncak yang mulia dan bertamadun tinggi.
Kemudian dituruti pula generasi seterusnya yang memperlihatkan perkembangan Islam terpancar ke merata pelusuk benua tanpa mengira sempadan geografi.Islam diterima sebagai agama yang memberi petunjuk dan satu sistem yang adil dalam semua aspek kehidupan manusia.
Islam bersifat universal telah berkembang sehingga sampai kepada kita di sebelah nusantara ini.Walau bagaimanapun, kecemerlangan Islam telah mula mundur setelah dicarik robek oleh manusia tamak dan tidak amanah yang berada di puncak kepimpinan negara apabila berlalu proses demi proses pertukaran sistem khalifah negara Islam.
Ia telah diambil kesempatan oleh musuh Islam untuk mengeruhkan lagi suasana dan menjadi gunting dalam lipatan dengan merosakkan pegangan ummah terhadap Islam sehingga ke hari ini.
Sejarah dunia hari ini mengakui bahawa Islam telah melahirkan suatu tamadun besar yang membawa keamanan dan kesejahteraan kepada dunia dan menjadi pendorong kemajuan manusia dalam aspek kerohanian.
Pemikiran, moral dan keduniaan menjadi sumber utama ilmu yang bermanfaat bukan saja kepada Timur tetapi juga Barat yang mendapat darinya sumbangan intelektual dan moral serta idea memajukan kebendaan.
Sebagaimana kita ketahui, pada abad ke-8 hingga ke-12, orang Islam sangat maju. Mereka menguasai ilmu pengetahuan, sains dan teknologi. Zaman kegelapan bagi masyarakat Barat adalah zaman kegemilangan tamadun Islam.
Islam memimpin dunia selama 700 tahun dan Barat berhutang dengan ketamadunan ini. Tamadun Islam yang tinggi ketika itu telah menarik orang Barat untuk menimba ilmu dan kepakaran di negara Islam.Mereka pulang dengan menyebarkan ilmu berkenaan di negara mereka.
Kesedaran ini diakui sendiri sarjana Barat dan di antara bidang yang mereka pelajari dan dapati daripada pusat pengajian Islam adalah matematik, falsafah, kedoktoran, astronomi, farmasi dan lain-lain. Ilmu itu mereka sebarkan pula ke pusat pengajian tinggi di Barat seperti Itali, kemudian ke Perancis dan setelah itu ke Britain dan Jerman.
Kita membuka lembaran sejarah tamadun Islam bukan untuk mengubat hati disebabkan kemunduran yang menimpa umat Islam sekarang, tetapi bagi memperbaiki dan membangun masa depan ke arah kejayaan serta kecemerlangan.
Sesungguhnya agama kita iaitu Islam sentiasa membawa cara hidup yang menekankan keilmuan. Dengan penguasaan pengetahuan, umat Islam telah berjaya membuka suatu tamadun tinggi yang di contohi masyarakat dunia.
Kebelakangan ini, kita dapat saksikan episod kemunduran menimpa umat Islam di sesetengah negara di seluruh dunia. Umat Islam walaupun berada di dalam sesebuah negara Islam yang kaya masih terpaksa bergantung kepada Barat.
Lebih-lebih lagi bagi negara sedang membangun, tentu tidak boleh lari daripada terdedah kepada tekanan dan penjajahan bentuk moden.Justeru, kita perlu beriltizam melahirkan cerdik pandai dalam pelbagai disiplin ilmu ke arah meningkatkan martabat umat Islam.
Pepatah Arab ada mengatakan: “Ilmu tanpa direalisasikan atau diamalkan, laksana pokok tanpa buah”.
Allah berfirman yang bermaksud: “Bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali mereka sendiri berusaha mengubah nasib mereka sendiri.” (Surah ar-Ra’ad, ayat 11)
Ini terbukti apabila masyarakat Barat berjaya merubah nasib bangsa mereka dengan memajukan ilmu pengetahuan yang ada di dunia Islam. Hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan dihormati di seluruh dunia adalah agenda menepati ayat yang mengajak kita melakukan reformasi terhadap nasib bangsa.
Menyorot kembali kegemilangan dicapai masyarakat Islam zaman silam, adalah disebabkan mereka benar mempraktikkan ajaran Islam. Malangnya kelemahan kita ialah apabila Islam menuntut kita mencari ilmu, kita pisahkan ilmu antara ilmu agama dan bukan agama.
Apabila Islam membenarkan kita mendapatkan kekayaan dan hakikat memberi itu lebih baik daripada menerima, maka kita memilih kemiskinan dan memandang mulia orang yang meminta-minta daripada orang lain.
Umat Islam zaman silam terpaksa menghadapi pelbagai bentuk halangan dan rintangan bagi mempertahankan dan membela nasib orang Islam. Kita hari ini cuma dikehendaki mempelajari ilmu dan kecekapan serta sanggup berusaha.
Tetapi kita tidak menghargai dan tidak berusaha bersungguh mengekalkannya. Ramai di kalangan kita cuma memilih amalan ibadat untuk diri sendiri dengan tidak memikirkan tanggungjawab kita terhadap seluruh umat Islam yang lain.
Bagi mengembalikan maruah Islam serta mendaulatkan semula kegemilangan Islam, umat Islam bertanggungjawab membuktikan ajaran Islam sebagai ajaran yang syumul.Kita perlu menghidupkan semula asas ajaran Islam sebenar seperti terkandung dalam al-Quran yang berteraskan prinsip tauhid kepada Allah sebagai punca penyatuan umat manusia di dunia.
Muhammad Iqbal pernah menekankan pentingnya umat Islam menguasai ilmu pengetahuan dan mengikuti arus kemajuan dengan bertunjangkan Islam. Beliau berkata, umat Islam perlu kekal sebagai penganut Islam tetapi pada masa sama mereka perlu moden sejajar perkembangan semasa.
Jika umat Islam mengamalkan sepenuhnya ajaran al-Quran, bermakna mereka mampu mengubahsuai politik dan kehidupan dunia.Barat digambarkan semakin khuatir dengan kebangkitan Islam yang mendadak sehingga ada media Barat menganggap Islam sebagai ancaman kepada tamadun Barat setelah keruntuhan komunis.
Kita tidak menafikan kenyataan itu dan yakin Islam mampu menguasai abad akan datang jika umatnya berusaha bersungguh-sungguh mengukuhkan keupayaan dalam semua bidang khususnya ekonomi, teknologi dan pengetahuan.
Tanggungjawab kita ialah untuk menyedarkan umat Islam supaya mempersiapkan diri menentukan agenda bagi seluruh ummah dalam usaha mengembalikan kegemilangan peradaban Islam di seluruh dunia.
Sarjana Islam, Dr Syed Husain Nars pernah menyebut kekuatan dan pengetahuan umat Islam dalam pelbagai bidang khususnya agama, teknologi, budaya dan politik dunia menjadi pra syarat penting melayakkan umat Islam menentukan agenda masa depan.
Sebagai umat yang komited kepada agama, sudah pasti kita akan berasa bangga apabila melihat Islam diterima dan diguna pakai ummah sejagat sebagai Addeen (cara hidup).
No comments:
Post a Comment